Monday, September 10, 2007

Di Antara Hikmah, Rahsia Dan Faedah Berpuasa

Tidak diragukan juga bahawa puasa mempunyai hikamah dan faedah yang cukup banyak yang kadang-kadang sebahagiannya diketahui oleh hamba, tetapi masih banyak lagi yang tidak diketahuinya.

Di antara hikmat dan faedah puasa yang mungkin diketahui oleh seseorang Islam ialah:

1. Di antara sifat puasa yang sohih ialah menyedarkan hati seseorang mukmin terhadap muraqabah* Allah Azzawajalla. Ini disebabkan apabila orang yang berpuasa menghabiskan sebahagian waktu siangnya, dia akan meresa lapar dan dahaga, maka jiwanya inginkan makanan dan minuman. Tetapi perasaan yang mengetahui bahawa dirinya berpuasa menghalangnya daripada memenuhi kehendak jiwanya sebagai melaksanakan perintah Allah Azzawajalla. Daripada pertentangan jiwa ini akan lahirlah kesedaran hati dan suburlah perasaan muraqabah Allah Taala serta berterusanlah ingatannya terhadap rububiyyah dan keagungan kekuasaan Allah. Begitu juga dia akan sentiasa sedar bahawa dia adalah hamba yang tunduk kepada hukum Allah dan mematuhi kehendak-Nya.

2. Ramadhan adalah bulan suci dibandingkan dengan semua bulan dalam satu tahun. Allah Azzawajalla menghendaki hamba-Nya supaya memenuhkannya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepada-Nya. Juga mengisinya dengan setinggi-tinggi makna perhambaan kepada Allah Azzawajalla. Alangkah sekarnya untuk merealisasikan perkara ini apabila berhadapan dengan hidangan, berada di majlis minum, selepas perut diisi penuh dan setelah naiknya hawa makanan ke dalam pemikiran dan otak. Jadi pensyariatan puasa pada bulan ini adalah jalan yang paling mudah untuk memenuhi hak Allah dan melaksanakan kewajipan perhambaan depada-Nya.

3. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim yang sentiasa berada dalam keadaan kenyang pasti akan memenuhkan jiwanya dengan sifat-sifat yang keras dan menyuburkan faktor-faktor pelampauan. Kedua perkara ini bertentangan dengan keadaan sebenar seseorang muslim. Jadi pensyriatan puasa akan membersihkan jiwanya dan menghaluskan perasaannya.

4. Di antara prinsip terpenting tertegaknya masyarakat Islam ialah saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi sesama umat Islam. Amat sukar bagi si kaya untuk mengasihi si miskin dengan kasih sayang yang sebenarnya tanpa dia merasai kesakitan dan kepayhan kemiskinan juga kepahitan kelaparan dan penderitaan. Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik pengalaman yang akan diperolehi si kaya mengenai perasaan si fakir. Ini menjadikannya hidup bersama si fakir di alam kepediahan dan dihalang daripada memiliki makanan. Dari sini puasa adalah sebaik-baik perkara yang menimbulkan faktor-faktor kasih sayang, rahmat dan kasihan di dalam jiwa si kaya.

*Perasaan hampir dan di awasi oleh Allah Taala.

Petikan : www.mediamuslim.com

No comments: